SKUAD JEJAK KEMISKINAN: LZS TURUN PADANG CARI DAN KENAL PASTI KELUARGA MEMERLUKAN



 

GOMBAK, 19 Ogos 2017 – Lembaga Zakat Selangor  hari ini, mengadakan Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) bagi daerah Gombak bertujuan untuk mencari individu atau keluarga yang layak menerima bantuan zakat. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Hussin Mohd Ali, operasi yang bersifat cari, siasat dan bantu ini bertujuan bagi mengenal pasti individu atau keluarga yang memerlukan bantuan dan akan disenaraikan sebagai asnaf fakir, miskin dan mualaf. Matlamat LZS untuk menangani kemiskinan di Selangor, iaitu kepada golongan yang layak, namun masih belum disantuni oleh LZS atas beberapa faktor.

Dalam operasi rutin yang dilaksanakan hari ini, melibatkan 40 buah keluarga di Perkampungan Orang Asli Batu 12, Gombak. Siasatan secara terus dari rumah ke rumah dijalankan di lokasi, bagi menyemak keperluan berdasarkan haddul kifayah (garis penentuan kemiskinan) keluarga yang terlibat.

Seterusnya, keluarga yang layak didaftarkan sebagai asnaf, akan disantuni dengan bantuan zakat seperti bantuan yuran dan kelengkapan persekolahan, bantuan Ramadan dan Hari Raya serta bantuan lain bergantung kepada keperluan semasa keluarga tersebut. Selain itu, aktiviti turun padang turut menjejaki keperluan lain bagi umat Islam di kawasan sekitar melalui agihan wang zakat kepada asnaf gharimin dan fisabilillah.

Untuk makluman, pada tahun 2016 seramai 46,500 keluarga asnaf fakir dan miskin telah disantuni oleh LZS.