SKUAD JEJAK KEMISKINAN: JEJAKI 124 RUMAH DI SEPANG



SEPANG, 29 September 2015 – Program Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) hari ini menjejaki sebanyak 124 buah rumah bertempat di Pangsapuri Cempaka, Bandar Bukit Puchong 2 di sini, sebagai usaha mencari dan mengenal pasti keluarga yang layak disantuni dengan zakat namun belum berdaftar dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Melalui program ini, siasatan secara terus dari rumah ke rumah dijalankan di kawasan yang telah dikenal pasti mempunyai keluarga yang memerlukan bantuan zakat untuk menentukan haddul kifayah (garis penentuan kemiskinan) mereka. Keluarga yang layak didaftarkan sebagai asnaf, akan menerima bantuan zakat seperti bantuan Hari Raya dan bantuan persekolahan. Manakala bantuan zakat yang lain akan disalurkan bergantung kepada keperluan sesebuah keluarga.

Program kali ini turut mendapat kerjasama penduduk setempat terdiri daripada Jawatankuasa Surau Al-Amin Pangsapuri Cempaka, Bandar Bukit Puchong 2.