SKUAD JEJAK KEMISKINAN: CARI, SIASAT & BANTU KELUARGA YANG LAYAK



SELAYANG, 9 Mac 2016– Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini, mengadakan program Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) siri ketiga bagi daerah Gombak bertujuan untuk mencari individu atau keluarga yang layak menerima bantuan zakat.

Operasi yang bersifat cari, siasat dan bantu ini bertujuan bagi mengenal pasti individu atau keluarga yang memerlukan bantuan zakat dan akan disenaraikan sebagai asnaf fakir atau miskin. Matlamat LZS ialah untuk menangani kemiskinan di Selangor, iaitu kepada golongan yang layak, namun tidak berdaftar dengan LZS atas faktor tidak tahu bagaimana dan di mana hendak memohon.

20160309_120149

Pengurus Daerah Gombak, Azhar Yahya Arif berkata, sebanyak 45 buah keluarga di sekitar Bandar Baru Selayang telah dibanci. Siasatan secara terus dari rumah ke rumah ini dijalankan dengan kerjasama ketua kampung dan penolong amil kariah di mana penduduk diminta mengisi borang bancian siasatan bagi menentukan haddul kifayah (garis penentuan kemiskinan) mereka.

Melalui dua siri SJK yang diadakan sebelum ini di daerah Gombak, seramai 27 buah keluarga telah didaftarkan sebagai asnaf fakir dan miskin. Mereka ini akan menerima bantuan Hari Raya dan pendidikan di samping bantuan lain bergantung kepada keperluan.

Untuk makluman sehingga bulan Januari 2016, seramai 3,011 keluarga asnaf fakir dan miskin di daerah Gombak telah disantuni oleh LZS.