SIMPOSIUM USAHAWAN ASNAF SELANGOR KUMPUL LEBIH 1,000 USAHAWAN ASNAF



Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS dengan kerjasama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Selangor (DPMMS) menganjurkan Simposium Usahawan Asnaf Selangor (SUAS) bertujuan mengumpulkan lebih 1,000 orang usahawan dikalangan asnaf di dalam negeri Selangor dan memberikan satu suntikan khas tumbesaran perniagaan kepada mereka.

Simposium tersebut terbahagi kepada dua sesi iaitu, perbincangan tentang peluang-peluang perniagaan dan perbincangan hal berkaitan dengan sistem pinjaman atau pembiayaan perniagaan yang akan disampaikan oleh wakil dari setiap agensi.

Turut disampaikan Anugerah Usahawan Asnaf Harapan kepada lima orang usahawan yang menunjukkan kecemerlangan.

Hasil daripada persetujuan tersebut, diharap dapat mewujudkan satu hubungan yang dinamik di antara ahli DPMMS, usahawan asnaf dan agensi yang terlibat di dalam aspek bantuan kewangan atau geran serta melatih usahawan agar dapat memberi sumbangan yang positif kepada ekonomi Melayu khususnya di Selangor.
Seterusnya DPMMS sebagai satu badan yang akan bertindak sebagai pemangkin dan pusat rujukan usahawan negeri Selangor akan mengenalpasti peluang-peluang kewangan yang perlu diagihkan kepada usahawan Melayu selepas adanya perjanjian bersama di antara DPMMS, LZS (MAIS) dan agensi-agensi yang terlibat.

Turut hadir YBhg. Tan Sri Rozali Ismail, Yang DiPertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Selangor, Y.B Dato’ Haji Abd. Rahman Hj. Palil, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Belia dan Mesra Rakyat, dan Y.A.D Dato’ Setia Hj. Mohamad Adzib Mohd Isa, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor.