SEMINAR BARAKAH NIAGA: STRATEGI LZS TINGKAT KUTIPAN ZAKAT PERNIAGAAN



SHAH ALAM- Seramai 80 orang peserta daripada pelbagai syarikat hadir bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan zakat dalam Seminar Barakah Niaga anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang diadakan di De Palma Hotel baru-baru ini.

Ia diadakan bertujuan memberi maklumat dan kefahaman tentang kewajipan zakat perniagaan di samping mengeratkan hubungan antara kedua-dua pihak. Selain itu, para peserta turut didedahkan dengan kaedah taksiran zakat perniagaan dan perkongsian pengalaman bersama uasahawan asnaf zakat yang berjaya.

Seminar turut dihadiri pakar kewangan Islam, Dr. Zaharuddin Abd Rahman yang membentang kertas kerja bertajuk ‘Barakah Puncak Nikmat Harta’.

Pada tahun 2011, LZS telah mengutip zakat perniagaan berjumlah RM79.9 juta dengan jumlah pembayar seramai 3,217, termasuk syarikat dan individu, menjadikan ia (zakat perniagaan) penyumbang kedua kutipan zakat terbesar selepas zakat pendapatan.