SEMBILAN ADIK BERADIK YATIM PIATU DIBANTU LZS



SHAH ALAM, 22 Mei 2014 – Berikut maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkenaan kes sembilan adik beradik yatim piatu yang tersiar di Harian Metro bertajuk ‘Kami Ibu, Kami Bapa’ pada 22 Mei 2014 dan di media-media sosial baru-baru ini.

Berdasarkan kepada maklumat yang diterima, sembilan adik beradik ini telah kematian ayah sejak tujuh tahun yang lalu. Manakala ibu mereka telah kembali ke rahmatullah pada bulan Mac baru-baru ini. Ini menyebabkan kakak sulung, Nur Syafina Othman, 24 tahun menjadi ketua keluarga sekali gus menanggung tujuh adik-adiknya. Sementara seorang lagi adiknya, telah berkahwin baru-baru ini.

Nasib sembilan beradik ini telah pun mendapat perhatian LZS. Untuk makluman, keluarga ini telah didaftarkan sebagai asnaf fakir di LZS sejak bulan April 2014.

Susulan itu bermula dari bulan April, LZS menyalurkan bantuan kecemasan berjumlah RM500, di samping bantuan pendidikan sebanyak RM1,200 kepada adik-adik Nur Syafina. Manakala bantuan kewangan bulanan akan disalurkan kepada Nur Syafina dan adik-adiknya sebanyak RM500 bermula akhir Mei ini. Selain itu, keluarga tersebut akan menerima bantuan Ramadan dan Hari Raya bagi membolehkan adik beradik ini membuat persiapan dengan sempurna.

Sementara itu berkenaan dengan bantuan sewa rumah, LZS akan membantu membayar sewa rumah yang sedang diduduki oleh keluarga ini. Namun, sekiranya keluarga ini berpindah ke tempat lain, bantuan sewa rumah akan tetap disalurkan selagi mana mereka menetap di Selangor.

LZS berharap dengan bantuan zakat yang akan disampaikan ini dapat membantu meringankan bebanan yang Nur Syafina dan adik-adiknya.