SDZ BERSAMA EON BANK



Subang Jaya – Lembaga Zakat Selangor (MAIS) melalui Skuad Dakwah Zakat (SDZ) telah bekerjasama dengan EON Bank dan AJK Masjid Al-Falah, USJ dalam menjalankan kerja-kerja dakwah dan memberi kesedaran berzakat kepada penduduk-penduduk di sekitar kawasan USJ 9 baru-baru ini.

Program SDZ tersebut telah berlangsung pada awal pagi dan berakhir sehingga solat Jumaat di Masjid Al-Falah, USJ. Program tersebut juga merupakan julung-julung kali diadakan dengan kerjasama daripada pihak bank iaitu EON Bank Berhad.

EON Bank adalah merupakan ejen kutipan zakat LZS (MAIS). Bermula pada tahun 2005 mereka telah menawarkan perkhidmatan kutipan zakat melalui kaunter-kaunter mereka yang berada di seluruh Negeri Selangor.

SDZ bergerak ke lokasi pertama dengan mengedarkan risalah Eon Bank dan Zakat Niaga kepada orang ramai dan premis-premis perniagaan di sekitar Pusat Perniagaan, USJ. Kunjungan muhibbah turut dibuat bersama Pengurus EON Bank cawangan berdekatan.

Pada sesi kedua, ahli SDZ bersama staf EON Bank sendiri yang diketuai oleh Encik Zainal Fitri mengadakan Ops Poket di lokasi strategik perumahan USJ dan juga kawasan sekitar Majlis Al-Falah. Sebanyak 2000 risalah zakat berjaya diedarkan melalui Ops Poket yang dijalankan di kawasan tersebut.

Sebelum menunaikan Solat Jumaat, pihak penganjur juga menyediakan kaunter pameran dan mengadakan sesi tazkirah serta khutbah Jumaat khusus tentang pembayaran zakat terkini. Khutbah tersebut telah disampaikan oleh pegawai daripada LZS (MAIS) sendiri. Majlis bersurai selesai solat Jumaat di masjid tersebut.