RM900 RIBU UNTUK BANTU RUMAH-RUMAH KEBAJIKAN



Tarikh : 8/4/2009
Penulis : Editor

SHAH ALAM, 2 April 2009 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS menyerahkan bantuan zakat kepada 28 buah rumah kebajikan di Selangor berjumlah RM900,000 di sini yang disampaikan oleh Timbalan Setiausaha MAIS, Ustaz Abdul Haleem Hapiz Salihin.

Bantuan diberikan bertujuan menambah dana bagi membantu rumah-rumah kebajikan ini dalam menangani masalah sosial. Selain itu ia juga membantu rumah-rumah kebajikan ini menjayakan operasi khidmat sosial kepada umat Islam sekali gus membantu pihak MAIS mewujudkan jaminan sosial dan kebajikan ummah supaya tidak ada yang melarat dan terpinggir.

Rumah kebajikan yang menerima bantuan zakat ini terdiri daripada rumah yang menempatkan anak yatim, warga emas, bekas penagih dadah, wanita yang menghadapi masalah, ibu tunggal dan pesakit AIDS.

Antara rumah kebajikan yang menerima bantuan ialah Pengurusan Anak-anak Yatim Damai menerima RM60,000, PROKIM Malaysia (RM60,000), Rumah Penjagaan Damai (RM50,000), Pertubuhan Penawar Warisan (RM55,000) dan lain-lain.

Turut hadir Pengurus Besar dalam majlis tersebut ialah Pengurus Besar LZS (MAIS), Tn. Hj. Ahmad Shahir Makhtar.