RM710 RIBU WANG ZAKAT UNTUK 49 NGO LAKSANA AKTIVITI KEISLAMAN



SHAH ALAM, 26 NOV 2010 – Sebanyak 49 buah badan bukan kerajaan (NGO) Islam menerima bantuan zakat dalam bentuk geran bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti keislaman bernilai RM710 ribu daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) di sini pada 24 November lalu.

Bantuan berkenaan disalurkan menerusi Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Penyampaian bantuan ini disempurnakan oleh Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd. Isa, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor.

Setiap tahun LZS menyediakan bantuan kewangan bagi membantu pertubuhan dakwah dan NGO Islam menjalankan pelbagai kegiatan dakwah. Ia demi memastikan kelangsungan dakwah Islam khususnya di Selangor berjalan lancar.

Berucap pada program penyampaian bantuan berkenaan, Adzib menegaskan bahawa bantuan kewangan tersebut dapat dimanfaatkan untuk menangani pelbagai permasalahan sosial umat Islam, seperti ajaran sesat dan amalan bid’ah. Bantuan ini juga dapat membantu organisasi dakwah khususnya dari kalangan saudara baru atau mualaf.

Di antara NGO yang menerima geran pada kali ini ialah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Selangor) sebanyak RM15,000.00, Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (Selangor) sebanyak RM15,000 dan juga Sahabat Hospital Selangor sebanyak RM17,000.00.

Bantuan turut diberikan kepada NGO Islam yang khusus menjalankan aktiviti bagi saudara baru, iaitu Persatuan Cina Muslim Malaysia (Selangor) sebanyak RM18,000.00, Persatuan Islamiah dan Kebajikan Saudara Baru India Se-Malaysia sebanyak RM10,000.00 dan Majlis Madrasah India Muslim Malaysia (Selangor) sebanyak RM5,000.00.

Sementara itu, wang zakat juga turut disalurkan kepada sembilan badan dakwah yang beroperasi di bawah Pejabat Agama Islam Daerah di sembilan daerah di negeri Selangor, yang masing-masing menerima bantuan kewangan sebanyak RM30,000.00.

Turut hadir pada program penyampaian bantuan ini ialah Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Pengarah JAIS, Mohamed Izam Mohamed Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif, LZS dan Ahmad Zaki Arsad, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Dakwah, JAIS.