RM63.9 JUTA DIAGIH BAGI ENAM BULAN PERTAMA



Shah Alam – Sebanyak RM63.9 juta wang zakat telah diagihkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS kepada lapan asnaf yang berhak menerimanya sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Pengurus Besar LZS (MAIS), Ahmad Shahir Makhtar, berkata jumlah tersebut telah meningkat RM11.3 juta berbanding tempoh yang sama tahun lalu, RM52.56 juta.

“Daripada jumlah itu, RM23.4 juta diagihkan kepada asnaf fisabilillah, miskin (RM18.8 juta), amil (RM11 juta), gharimin (RM6.1 juta) dan dikuti mualaf, RM3.27 juta. Selain itu asnaf fakir menerima RM707,936.93, riqab (RM391,358.91 dan ibni sabil sebanyak RM103,155,” jelas beliau

Selain itu, menurut Ahmad Shahir, LZS (MAIS) turut menyediakan sebanyak 426 unit rumah di 12 penempatan berkelompok di beberapa kawasan di negeri ini. Daripada jumlah itu, 110 unit di Merbau berdarah; Sungai Nipah (33 unit) dan Tebuk Pulai, 60 unit, semua di Sabak Bernam.

Manakala di Permatang Pasir, Kuala Langat; Jeram, Kuala Selangr; Sungai Kajang, Tanjong Karang; Sungai Nibong, Sabak Bernam dan Sekendi Sungai Besar masing-masing mempunyai 30 unit rumah.

Turut disediakan 25 unit di Bagan Nakhoda Omar, Parit Lapan Gambut (20 unit) di Sungai Besar dan masing-masing 14 unit di Tanjung Jawa, Sabak Bernam dan Kampung Pasir Putih, Kalumpang.

“Selain itu juga, LZS (MAIS) turut membeli pangsapuri kos rendah di beberapa buah Bandar bagi menangani kemiskinan di Bandar iaitu 100 unit di Subang Bestari, Subang dan masing-masing 20 unit di Pangsapuri Seri Rebana, Klang dan Pangsapuri Enggang, Puchong.

Sementara itu Pangsapuri Taman Tun Perak, Rawang; Pangsapuri Samudera, Pulau Indah dan Pangsapuri Taman Tanming Impian, Kajang, masing-masing 10 unit, diikuti Pangsapuri Megah Villa, Sepang (lima unit) dan Pangsapuri Cempaka, Puchong (lima unit),” jelas beliau lagi.

Kata beliau, sebanyak RM1.96 juta telah diagihkan kepada 791 penerima yang kini melanjutkan pengajian di institut pengajian awam dan swasta daripada RM5.19 juta yang diperuntukkan LZS (MAIS) untuk bantuan pendidikan.

Katanya, sebanyak RM1.6 juta pula diagihkan kepada 5,613 pelajar sekolah menengah, RM1.57 juta kepada 10,043 orang pelajar sekolah rendah dan RM50,500 kepada 487 murid prasekolah.

Pembiayaan tersebut tersebut melibatkan biasiswa, dermasiswa, yuran persekolahan, keperluan pendidikan, pembiayaan umum pelajaran dan program kecemerlangan pelajar.