RM6.9 JUTA BANTUAN KEWANGAN BULANAN DISALUR: BANTUAN SEMENTARA RINGANKAN BEBANAN



SHAH  ALAM, 6 Jun – Dalam tempoh empat bulan iaitu dari Januari hingga April ini sebanyak RM6.9 juta bantuan kewangan bulanan disalurkan  kepada 5,915 asnaf fakir, miskin dan muallaf  di seluruh Negeri Selangor bagi membantu meringankan bebanan mereka.

Daripada jumlah itu RM3.3 juta disalur kepada 2,513 orang fakir, RM3.2 juta kepada 2, 478 orang miskin dan RM300 ribu kepada 924 orang muallaf.

Bantuan yang diberikan adalah antara RM150-RM500 sekeluarga mengikut jumlah tanggungan.Bantuan kewangan bulanan adalah salah satu bentuk bantuan yang disalurkan kepada asnaf fakir, miskin dan muallaf yang berada di dalam keadaan yang benar-benar terdesak dan amat memerlukan.

Bantuan ini adalah bantuan sementara yang diberikan dalam tempoh enam bulan sahaja dan selepas tempoh itu kelayakan penerima bantuan akan disemak semula.