RM6.59 JUTA BANTU FAKIR MISKIN SAMBUT PUASA DAN HARI RAYA



Shah Alam – Seramai 9,452 orang fakir dan miskin di Selangor berpeluang membuat persiapan awal untuk menyambut kedatangan bulan ramadhan dan hari raya apabila mereka menerima bantuan lebih awal daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS.

Pada tahun ini sebanyak RM6.59 juta telah diperuntukkan LZS (MAIS) untuk diagihkan kepada golongan tersebut yang melibatkan 48 program di seluruh Selangor yang bermula pada 3 September lalu dan berakhir pada 27 September ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM6.1 juta diagihkan kepada 8,780 orang golongan miskin, manakala RM485,400 diagihkan kepada 672 orang golongan fakir dengan masing-masing menerima antara RM550 hingga RM1,000 setiap keluarga dalam bentuk wang tunai.

Daerah Sabak Bernam mencatatkan bilangan paling ramai menerima bantuan iaitu seramai 2,053 orang dengan nilai bantuan sebanyak RM1.42 juta. Ini diikuti daerah Kuala Selangor seramai 1,382 orang (RM944,700), Hulu Langat 1,326 orang (RM934,900), Petaling 1,027 orang (RM765,250) dan Kuala Langat 935 orang (RM620,750).

Hulu Selangor 883 orang (RM602,500), Klang 789 orang (RM551,850) manakala Gombak dan Sepang masing-masing seramai 765 orang dan 292 orang dengan nilai bantuan sebanyak RM546 ribu dan RM205,550.