RM5.14 JUTA UNTUK BANTUAN PENDIDIKAN ANAK-ANAK FAKIR MISKIN



Tarikh : 11/3/2009
Penulis : Editor

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS memperuntukkan RM5.14 juta untuk tambahan bantuan pendidikan kepada anak-anak fakir miskin di Selangor. Sebanyak 35 program agihan bantuan ini telah disusun di seluruh Selangor bermula 4 Mac di Masjid Negeri Shah Alam sehingga 31 Mac di Masjid Al-Amaniah, Batu Caves.

Bantuan ini melibatkan kira-kira 25,714 orang pelajar termasuk peringkat tadika, sekolah kebangsaan, sekolah kebangsaan agama, sekolah menengah kebangsaan serta sekolah menengah agama.

Semua anak-anak fakir miskin ini menerima bantuan sebanyak RM200 seorang beserta dua pasang baju sekolah bagi sekolah rendah dan sepasang baju sekolah bagi sekolah menengah.

Sebelum ini LZS telah menyampaikan bantuan sebanyak RM7.9 juta bagi bantuan yuran dan pembelian kelengkapan persekolahan mereka.

Melalui bantuan ini adalah diharapkan akan dapat meringankan beban ibu bapa yang hidup dalam kemiskinan lebih-lebih lagi kesan kejatuhan ekonomi yang semakin terasa sekarang ini.