RM46.95 JUTA ZAKAT DISALUR BANTU PEMBANGUNAN PENDIDIKAN UMMAH



SHAH ALAM, 31 MEI 2011– Sebanyak RM46.95 juta bantuan zakat disalurkan bagi membantu pembangunan  pendidikan ummah di  Selangor  yang disampaikan kepada 12 penerima di sini hari ini.

Daripada jumlah itu, RM4,054,421 juta disalurkan untuk skim pinjaman buku teks sekolah rendah agama, RM26 juta disalurkan untuk menambah dana bayaran gaji guru-guru KAFA di Selangor, RM12.5 juta disalurkan bagi sumbangan dermasiswa pelajar luar negara (Mesir, Jordan dan Morocco), RM997,807 disalurkan untuk bayaran gaji guru tahfiz di MITS dan RM901,020 disalurkan untuk dermasiswa galakan PSRA/SMA & STAM.

Selain itu, bantuan turut disalurkan untuk pembinaan dan penambah bangunan sekolah. Sekolah yang menerima bantuan ialah pra sekolah JAIS Kuala Selangor berjumlah RM464,268.48 untuk pembinaan sekolah baru, Sekolah Rendah Agama Batu Arang Gombak yang menerima bantuan sebanyak RM336,633.00 untuk pembinaan tiga bilik darjah tambahan dan Sekolah Rendah Agama Kg. Medan Kuala Langat untuk pembinaan bangunan kantin berjumlah RM331,480.00.

Turut menerima bantuan ialah Sekolah Rendah Agama Kg.Jawa Klang untuk pembinaan surau berjumlah RM296,418.50 serta Sekolah Agama Tok Muda Klang untuk pembinaan bangunan kantin dan PRA Sekolah JAIS Tok Muda Klang untuk pembinaan tandas berjumlah RM236,119.36. Bantuan zakat turut disalurkan bagi dermasiswa pelajar cemerlang berjumlah RM19 ribu.

Semua bantuan disampaikan oleh Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim kepada semua wakil penerima semasa majlis sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor di sini hari ini.