RM45,700 DIPERUNTUKKAN UNTUK MANGSA RIBUT, BANJIR



Gombak Setia – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS dan Tabung Bencana Pejabat Daerah Gombak mengadakan majlis penyerahan sumbangan agihan kepada mangsa banjir di pusat kebajikan Gombak setia baru-baru ini.

Sebanyak RM45,700 diperuntukkan sebagai sumbangan kepada 67 keluarga mangsa bencana tersebut dalam menghadapi musibah yang menimpa mereka. Sumbangan bantuan itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia merangkap Exco Negeri Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.

Bantuan yang disampaikan adalah lanjutan daripada sumbangan yang telah disalurkan kepada 55 buah keluarga berjumlah RM31,000 sebelum ini.

Menurut Ketua Operasi Wilayah Timur LZS (MAIS), Muhammad Rizal Shah Harudin, bantuan keseluruhan adalah sebanyak RM23,700 di mana RM300 diberikan kepada keluarga yang mengalami bencana ribut dan sebanyak RM100 pula kepada mangsa banjir. Selain itu, sebanyak RM22,000 lagi bantuan daripada tabung bencana turut disampaikan kepada mereka yang mengalami bencana alam.

Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah Gombak Shahimin Ghazali, Penghulu Mukim Setapak Zuraimi Mohani dan wakil (JKM).