RM371.7 JUTA ZAKAT DIAGIH PADA 2011



Shah Alam, 17 Januari 2012 – Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd. Isa hari ini mendedahkan, di sebalik kejayaan Lembaga Zakat Selangor (LZS) melakukan kutipan zakat sebanyak RM393.5 juta pada tahun 2011; sebanyak RM371.7 juta pula telah berjaya diagihkan kepada lapan asnaf di Selangor.

Agihan zakat di Selangor adalah berpandukan kepada lapan asnaf  sebagaimana yang telah diperuntukkan oleh syarak, iaitu asnaf fakir mendapat agihan sebanyak RM35.6 juta; asnaf miskin (RM75.0 juta); asnaf fisabilillah (RM156.1 juta); asnaf muallaf (RM15.5 juta); asnaf gharim (RM31.4 juta); asnaf amil (RM49.2 juta); asnaf riqab (RM7.8 juta) dan asnaf ibnu sabil sebanyak RM1.2 juta.

Dari aspek bilangan fakir miskin pula, jumlah fakir miskin di Selangor pada tahun 2011 adalah seramai 21,630 keluarga berbanding 23,488 keluarga pada tahun 2010. Daripada jumlah 21,630 keluarga itu, 7,647 keluarga berstatus fakir dan sebanyak 14,058 pula berstatus miskin.

Mohamad Adzib turut mengumumkan, LZS kini telah meluaskan perkhidmatan Kaunter Agihan X-Press ke seluruh daerah di Selangor. Kaunter ini mengendalikan urusan kecemasan dengan memperuntukkan bantuan tunai segera sehingga maksimum RM500.00. Umat Islam yang ditimpa musibah dan memerlukan bantuan segera, bolehlah mengunjungi kaunter zakat di daerah bagi mendapatkan perkhidmatan ini.

Senarai kaunter daerah yang menyediakan Kaunter Agihan X-Press ialah seperti berikut, Daerah Petaling di Bangunan Zakat Selangor (1-800-88-5353); Daerah Klang di Taman Klang Sentral Bukit Raja (03-33416939); Daerah Kuala Selangor di Bandar Melawati (03-32897202); Daerah Sabak Bernam di Sungai Besar (03-32245166); Daerah Hulu Selangor di Kuala Kubu Bharu (03-60645104); Daerah Sepang di Bandar Baru Salak Tinggi (03-87064806); Daerah Kuala Langat di Banting (03-31804350); Daerah Hulu Langat di Kajang (03-87364187) dan Daerah Gombak  di Taman Melawati (03-41474825).

Sidang media yang diadakan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ini turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Marzuki Hussin.