RM35.61 JUTA ZAKAT BANTU FAKIR MISKIN



SHAH ALAM, 12 Ogos–Sebanyak RM31.61 juta zakat telah disalurkan bagi membantu asnaf fakir dan miskin di Selangor bermula bulan Januari hingga Jun tahun ini.

Daripada jumlah itu RM13.06 juta diagihkan kepada asnaf fakir dan RM22.55 juta kepada asnaf miskin.

Bagi memastikan bantuan yang disalurkan adalah seimbang dan berkesan,  LZS  menyalurkan bantuan kepada asnaf ini mengikut program iaitu  program pembangunan sosial, ekonomi, pendidikan dan insan. Bantuan tidak hanya berbentuk wang tunai malahan berbentuk bantuan lain  seperti program/kursus, pembinaan, barangan dan sebagainya.

Di bawah program pembangunan sosial antara bantuan yang disalurkan ialah bantuan perubatan sakit kronik, rawatan dialisis, bantuan makanan dan kewangan bulanan, bantuan bina dan baik pulih rumah dan sebagainya.

Manakala melalui program pembangunan pendidikan pula antara bantuan yang disalurkan ialah bantuan yuran, dermasiswa, keperluan pendidikan, bantuan biasiswa pelajaran, kemudahan asrama dan sebagainya.

Melalui program pembangunan insan pula pelbagai kursus diadakan seperti  kursus Tahsinul Quran dan Ibadah, Program Literasi, Kecemerlangan Peperiksaan dan sebagainya bagi membantu pembangunan jiwa dan motivasi asnaf.

Manakala melalui program pembangunan ekonomi pula bantuan diberikan berbentuk suntikan modal, meningkatkan ilmu keusahawanan, pengurusan kewangan, pemasaran, kualiti produk dan jenama, bimbingan dan pemantauan berterusan. Usaha ini bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan dan peluang perniagaan kepada asnaf.