RM27.2 JUTA BANTUAN ZAKAT DIAGIHKAN KEPADA 36,950 KELUARGA ASNAF FAKIR DAN MISKIN SEMPENA KEDATANGAN RAMADAN & SYAWAL



SHAH ALAM, 24 Mei 2016 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan sebanyak RM27,236,240 bantuan zakat kepada 36,950 keluarga asnaf fakir dan miskin di seluruh Selangor bersempena dengan kedatangan Ramadan dan Hari Raya pada tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM9,480,520 diagihkan kepada 12,565 keluarga asnaf fakir, manakala sebanyak RM17,755,720 diagihkan kepada keluarga asnaf miskin.

Pada tahun ini, daerah Petaling mencatatkan jumlah penerima bantuan tertinggi seramai 6,585 keluarga asnaf fakir dan miskin melibatkan peruntukan agihan zakat sebanyak RM4,838,710. Ia diikuti daerah Klang dengan jumlah penerima seramai 6,416 keluarga melibatkan peruntukan agihan zakat sebanyak RM4,785,530 dan daerah Hulu Langat mengagihkan bantuan zakat berjumlah RM4,284,840 kepada 5,811 keluarga asnaf fakir dan miskin.

Sementara daerah Kuala Selangor mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM3,332,340 kepada 4,574 keluarga asnaf fakir dan miskin, daerah Hulu Selangor mengagihkan bantuan zakat kepada 3,987 keluarga melibatkan peruntukan agihan sebanyak RM2,973,210 dan daerah Kuala Langat mengagihkan kepada 3,139 keluarga asnaf fakir dan miskin dengan agihan zakat sebanyak RM2,341,230.

Tiga daerah lain iaitu daerah Sabak Bernam mencatatkan seramai 2,456 keluarga asnaf fakir dan miskin yang menerima bantuan Ramadan dan Hari Raya dengan jumlah agihan zakat sebanyak RM1,681,920, diikuti dengan daerah Gombak dengan jumlah agihan zakat sebanyak RM1,830,000 kepada 2,428 keluarga dan daerah Sepang yang mencatatkan jumlah agihan sebanyak RM1,168,460 kepada 1,554 keluarga asnaf fakir dan miskin.

Setiap keluarga akan menerima bantuan zakat di antara RM550 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan. Penerima asnaf fakir dan miskin ini akan menerima bantuan zakat sama ada menerusi akaun bank atau wang tunai.

Majlis Penyampaian Bantuan Ramadan dan Hari Raya kepada asnaf fakir dan miskin ini telah bermula pada 24 Mei 2016 dan dijangka berakhir pada 4 Jun 2016 melibatkan 19 program di seluruh Selangor.