RM23.6 JUTA BANTUAN ZAKAT DIAGIHKAN KEPADA 32,843 KELUARGA ASNAF FAKIR DAN MISKIN



SHAH ALAM, 25 Jun 2014 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan sebanyak RM23,579,080.00 bantuan zakat kepada 32,843 keluarga asnaf fakir dan miskin di seluruh Selangor bersempena dengan Ramadan dan Hari Raya pada tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai 10,144 keluarga asnaf fakir menerima bantuan zakat berjumlah RM7,460,050.00. Manakala 22,699 keluarga asnaf miskin menerima bantuan zakat berjumlah RM16,119,030.00. Setiap keluarga akan menerima bantuan zakat di antara RM550 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan.

Pada tahun ini, daerah Petaling mencatatkan jumlah penerima bantuan tertinggi seramai 5,563 keluarga melibatkan peruntukan agihan zakat sebanyak RM4,184,100.00. Ia diikuti daerah Hulu Langat dengan jumlah penerima seramai 5,036 keluarga yang menerima agihan bantuan zakat sebanyak RM3,670,450.00 dan Klang seramai 4,647 keluarga asnaf fakir dan miskin dengan jumlah agihan sebanyak RM3,470,080.00

Bantuan berkenaan akan diagihkan menerusi 18 buah masjid di negeri ini, bermula 19 Jun 2014 dan berakhir pada 28 Jun 2014 bagi membantu golongan yang memerlukan membuat persiapan bersempena kedatangan Ramadan dan Hari Raya.