RM20 JUTA BIAYAI PERSEKOLAHAN ANAK-ANAK ASNAF SESI 2014



Shah Alam, 2 Disember 2013 – Sejumlah RM20 juta agihan zakat diperuntukkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada 38,841 orang pelajar asnaf fakir dan miskin bagi membiayai kelengkapan dan yuran persekolahan untuk sesi persekolahan 2014.

Dengan agihan zakat tersebut, setiap keluarga akan menerima bantuan mengikut jumlah tanggungan sehingga maksimum RM2,000 bagi satu keluarga. Bantuan ini meliputi anak-anak asnaf di peringkat pra persekolahan sehinggalah ke peringkat sekolah menengah.

Melalui peruntukan agihan itu, setiap pelajar di sekolah rendah kebangsaan dan rendah agama, masing-masing menerima sebanyak RM150 bagi membiayai bayaran yuran persekolahan. Manakala bagi pelajar sekolah menengah kebangsaan dan menengah agama pula menerima sebanyak RM250. Sementara pelajar di peringkat pra persekolahan menerima sebanyak RM100 setiap seorang.

Di samping itu, para pelajar juga turut menerima bantuan pakaian sekolah dan kelengkapan persekolahan bernilai antara RM150 hingga RM200 yang diberi dalam bentuk baucar untuk ditukarkan di pasar raya Mydin dan Sakan.

Majlis penyerahan bantuan di bawah Program Pembangunan Pendidikan ini bermula 23 November  lalu dan dijangka akan berakhir pada 12 Disember melibatkan 28 program di seluruh Selangor.