RM15.1 JUTA BIAYAI PERSEKOLAHAN ANAK-ANAK ASNAF SESI 2015



SHAH ALAM, 4 Disember 2014 – Sejumlah RM15.1 juta agihan zakat diperuntukkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada 44,824 orang anak-anak asnaf fakir dan miskin bagi sesi persekolahan 2015.

Mereka yang menerima bantuan zakat ini terdiri daripada pelajar peringkat pra sekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah di seluruh Selangor.

Melalui bantuan agihan itu, setiap pelajar sekolah rendah kebangsaan dan sekolah rendah agama masing-masing akan menerima sebanyak RM150 bagi membiayai yuran persekolahan, manakala pelajar sekolah menengah kebangsaan dan sekolah menengah agama pula akan menerima sebanyak RM250. Sementara bagi pelajar prasekolah akan menerima sebanyak RM100.

Di samping itu, setiap pelajar turut menerima bantuan pakaian sekolah dan peralatan sekolah bernilai di antara RM170 hingga RM200 yang diberi dalam bentuk baucer untuk ditukar di Pasar Raya Sakan, Mydin dan Jakel.

Dengan adanya agihan zakat tersebut, setiap keluarga akan menerima bantuan mengikut jumlah tanggungan sehingga maksimum RM2,000 bagi satu keluarga.

Majlis penyerahan agihan Pendidikan ini bermula 25 November  lalu dan dijangka akan berakhir pada 13 Disember melibatkan 27 program di seluruh Selangor. Manakala agihan pendidikan untuk fasa kedua akan menyusul kemudian.

LZS  akan terus sentiasa berusaha dan komited bagi meningkatkan kualiti pendidikan anak-anak asnaf agar nasib mereka sentiasa terbela.