RM14.5 JUTA BANTU PERSEDIAAN SEKOLAH 27 RIBU ANAK ASNAF



Shah Alam–Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS menyalurkan bantuan zakat sebanyak RM14,542,160.00 kepada seramai 27,953 orang pelajar asnaf fakir miskin bagi membantu meringankan bebanan ibu bapa terutamanya bagi membiayai kelengkapan dan yuran persekolahan untuk sesi persekolahan 2012.

Bantuan di bawah Program Pembangunan Pendidikan ini bermula dari 21 November 2011 hingga 29 Disember 2011 di seluruh negeri Selangor dengan jumlah keseluruhan 29 program.

Setiap keluarga akan menerima bantuan keperluan peralatan persekolahan berbentuk baucher dan yuran persekolahan mengikut jumlah tanggungan; maksimum sehingga RM2,000 bagi sebuah keluarga.

Nilai baucher yang diberikan kepada setiap pelajar lelaki sekolah kebangsaan berjumlah RM150 dan sekolah agama rakyat pula sebanyak RM130. Manakala bagi sekolah menengah sebanyak RM180. Manakala bagi pelajar perempuan, sekolah kebangsaan sebanyak RM170, sekolah rendah agama (RM150) dan sekolah menengah sebanyak RM200. Manakala pelajar tadika menerima baucher bernilai RM100 setiap seorang.

Manakala bagi yuran persekolahan, bagi sekolah kebangsaan dan rendah agama mereka menerima masing-masing sebanyak RM150 seorang, sekolah menengah RM250 setiap seorang dan tadika RM100 setiap seorang.

Pada sesi persekolahan 2010, LZS menyalurkan sebanyak RM12.54 juta bagi membanti 34,787 anak-anak fakir/miskin.