RM1 JUTA BANTU PESAKIT KURANG BERKEMAMPUAN JELAS KOS RAWATAN



SELAYANG, 14 Disember 2011- Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyalurkan bantuan zakat sebanyak RM1 juta kepada Tabung Pesakit Kronik bagi 10 buah hospital terpilih di Selangor dan Kuala Lumpur. Ia bertujuan meringankan bebanan pesakit kurang berkemampuan yang memerlukan pembiayaan bagi menjalani kos rawatan di hospital berkenaan.

Bantuan di bawah Program Pembangunan Sosial ini telah bermula sejak tahun 2010 dan 10 buah hospital yang terlibat pula ialah, Hospital Selayang, Hospital Serdang, Hospital Tunku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Kajang, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia serta Institut Jantung Negara (IJN).

Semua hospital terbabit menerima RM100 ribu untuk kegunaan tabung, di samping LZS turut akan memberikan bantuan mesin dialisis kepada setiap hospital yang memerlukan. Sebanyak 25 unit mesin dialisis akan dibekalkan tidak lama lagi dengan kos keseluruhan mencecah RM100 ribu.

Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof dan turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr. Azman Abu Bakar serta Pengarah Hospital Selayang, Dr.Siti Zaleha Mohd. Salleh.