RM1.4 JUTA DISALURKAN UNTUK TABUNG KEBAJIKAN PERUBATAN MALAYSIA



SHAH ALAM, 12 April 2017– Lembaga Zakat Selangor hari ini menyalurkan sumbangan zakat sebanyak RM1.4 juta kepada Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia di 11 buah hospital sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Penyampaian sumbangan zakat ini disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa sempena Majlis Penghargaan Zakat Selangor 2016 di sini.

Hospital berkenaan ialah, Hospital Kuala Lumpur yang menerima sumbangan zakat berjumlah RM300,000, diikuti dengan Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia masing-masing menerima sebanyak RM200,000.

Manakala Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Yayasan Institut Jantung Negara menerima sumbangan zakat sebanyak RM150,000, diikuti Hospital Selayang dan Hospital Kajang sebanyak RM100,000. Bagi Hospital Putrajaya, Hospital Rehabilitasi, Cheras, Pusat Perubatan Universiti Teknologi MARA dan Hospital Shah Alam masing-masing menerima sumbangan zakat sebanyak RM50,000.

Sumbangan kepada Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia telah bermula sejak tahun 2008, bertujuan meringankan bebanan pesakit Islam yang kurang berkemampuan dan memerlukan kos pembiayaan bagi menjalani rawatan di hospital.

Hadir sama, Setiausaha MAIS, Dato’ Bakhtiar Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali.