RM1.2 JUTA SUMBANGAN ZAKAT UNTUK TABUNG KEBAJIKAN PESAKIT LZS



KUALA LUMPUR, 30 Oktober 2014 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyalurkan sumbangan zakat sebanyak RM1.2 juta kepada Tabung Kebajikan Pesakit LZS di 13 buah hospital termasuk Yayasan Jantung Negara. Penyampaian sumbangan zakat ini disempurnakan oleh Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail bertempat di Auditorium Institut Jantung Negara (IJN) dekat sini.

Sumbangan kepada Tabung Kebajikan Pesakit LZS telah bermula sejak tahun 2008, bertujuan meringankan bebanan pesakit Islam yang kurang berkemampuan dan memerlukan kos pembiayaan bagi menjalani rawatan di hospital.

Hospital berkenaan ialah, Hospital Kuala Lumpur yang menerima sumbangan zakat berjumlah RM200,000, diikuti dengan Pusat Perubatan Universiti Malaya sebanyak RM150,000.

Sementara itu, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Institut Jantung Negara masing-masing menerima sumbangan zakat berjumlah RM100,000. Manakala bagi Hospital Kajang dan Hospital Putrajaya pula menerima sumbangan zakat sebanyak RM50,000. Sementara, Hospital Rehabilitasi, Cheras turut menerima bantuan zakat berjumlah RM30,000 dan Pusat Perubatan UITM iaitu sebanyak RM20,000.

Hadir sama dalam majlis ini, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Farida Mohd Ali, Pengerusi Yayasan Jantung Malaysia, Toh Puan Dato’ Seri Aishah Ong dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohd Yusof.