RM1.10 JUTA BANTUAN ZAKAT UNTUK 38 NGO’S DAN 9 BADAN DAKWAH



Tarikh : 10/29/2009
Penulis : ZANARIAH

RM1.10 Juta Bantuan Zakat Untuk 38 NGO’s dan 9 Badan Dakwah

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS menyerahkan bantuan zakat kepada 38 Badan Bukan Kerajaan (NGO’s) dan sembilan Badan Dakwah di Selangor berjumlah RM1.10 juta baru-baru ini.

38 buah NGO’s menerima bantuan zakat berjumlah RM830 ribu iaitu minumum menerima RM15 ribu dan maksimum RM30 ribu dan sembilan Badan Dakwah menerima bantuan zakat berjumlah RM270 ribu iaitu masing-masing menerima RM30 ribu.

Bantuan disampaikan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim di majlis perasmian penutup Seminar Zakat dan Pengurusan Integriti anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan LZS di sini hari ini.

Bantuan diberikan bertujuan menambah dana bagi membantu NGO’s Islam dan Badan Dakwah di Selangor dalam usaha menyebarluaskan dakwah Islam di Selangor.

Antara objektif lain bantuan ini diberikan ialah membantu menjayakan operasi dakwah kepada umat Islam melalui NGO’s dan Badan Dakwah mengikut garis panduan yang tetapkan bersama oleh MAIS, galakan kepada NGO’s dan Badan Dakwah supaya memberi khidmat yang lebih cemerlang dalam menyampaikan dakwah kepada sasaran, mengukuhkan rangkaian kerjasama antara MAIS, NGO’s dan Badan Dakwah demi pembangunan insan dan sosial di Selangor.

Antara NGO’s yang menerima bantuan ialah Perkim Cawangan Negeri Selangor menerima bantuan RM20,000, Pemadam Negeri Selangor menerima bantuan RM20,000, Persatuan Pengguna Islam Malaysia menerima bantuan RM20,000, Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Selangor (RM20,000) dan lain-lain.

Manakala Badan Dakwah yang menerima bantuan ialah Badan Dakwah Pejabat Agama Islam seluruh Daerah di Selangor yang menerima bantuan RM30 ribu setiap badan dakwah.

Sementara itu, Seminar Zakat dan Pengurusan Integriti NGO’s Islam turut diadakan hari ini bagi menerapkan nilai integriti di kalangan penggerak dakwah khususnya dari kalangan NGO’s Islam yang menerima peruntukan zakat bagi menjalankan aktiviti dakwah. Seramai 200 orang peserta menyertai seminar ini.

Selain itu, melalui seminar ini turut diterapkan tentang pengurusan zakat di Selangor untuk mereka turut sama menyebarluaskan dakwah zakat.

Antara tajuk ceramah yang dibentangkan ialah “Kepentingan Integriti Dalam Pengurusan Dakwah” oleh Pengerusi Akademi Aidit, Dato’ Aidit bin Ghazali dan Peranan Zakat Dalam Pembangunan Insan Selangor oleh Mohd Uda Kasim, Eksekutif LZS.

Turut diadakan Forum bertajuk “Peranan NGO Islam Dalam Membina Generasi Khairul Ummah”. Forum dipengerusikan oleh Eksekutif LZS, Mohd Faryzan Bin Subkhi. Ahli Panel, Setiausaha Jawatankuasa Dakwah MAIS, Ahmad Zaki Arshad dan Pengerusi International Muslim Women’s Union, Robiah K.Hamzah.

Turut hadir, Pengerusi MAIS, Dato’ Setia Hj Mohamad Adzib b. Mohd Isa, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Hj. Mohammed Khusrin Hj. Munawi dan Pengurus Besar Lembaga Zakat Selangor, Tn Hj Ahmad Shahir Makhtar.