RAJA MUDA PERKENAN TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN RM3.02 JUTA DAN MENYAMPAIKAN BANTUAN HARI RAYA KEPADA ASNAF FAKIR, MISKIN, MUALAF DAN ANAK YATIM



KLANG, 13 Ogos 2012 – Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah perkenan menerima zakat perniagaan berjumlah RM3,028,515.54 daripada lima syarikat, iaitu Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Kumpulan KPJ Healthcare Berhad (KPJ), Kumpulan Semesta Sdn Bhd, Kuwait Finance House serta ANGKASA dan Koperasi Negeri Selangor. Penyerahan zakat tersebut diadakan semasa Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor di Masjid Diraja Sultan Suleiman di sini hari ini.

KDEB menunaikan zakat perniagaan bagi anak-anak syarikatnya sebanyak RM1,111,293.52, diikuti KPJ berjumlah RM704,000 dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd sebanyak RM535,209.60. Manakala Kuwait Finance House menunaikan zakatnya sebanyak RM534,293.71, sementara ANGKASA dan Koperasi Negeri Selangor pula berjumlah RM143,718.71. Kesemua syarikat tersebut menunaikan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2011.

KDEB diwakili Presidennya, Suhaimi Kamaralzaman, KPJ oleh Pengarah Eksekutif, Amiruddin Abd. Satar dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. Wan Ab. Halim Wan Ismail. Sementara Kuwait Finance House pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Jamelah Jamaluddin. Manakala ANGKASA dan Koperasi Negeri Selangor oleh Presiden, Prof. Dato’ Dr. Mohd Ali Baharum.

Sementara itu, pada majlis yang sama, Raja Muda Selangor turut perkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada sembilan orang asnaf fakir, 243 orang asnaf miskin, 100 orang anak yatim serta 145 orang asnaf mualaf. Kesemua mereka menerima sumbangan RM400 setiap seorang, manakala anak yatim RM100 seorang.

Hadir sama Menteri Besar, Tan Sri Dato’ Seri Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohamed Khusrin Munawi, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa. Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Marzuki Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Mohamed Izam Mohamed Yusof.