RAI MAJIKAN, EJEN DAN SYARIKAT DI MESRA AIDILFITRI



SHAH ALAM – Bagi mengeratkan silaturahim dan sebagai tanda terima kasih kepada syarikat korporat, majikan dan ejen kutipan yang banyak membantu Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam menyebarkan dakwah zakat, satu majlis Mesra Aidilfitri diadakan di sini pada 10 September.

Seramai 300 tetamu jemputan diraikan dengan pelbagai juadah di samping aktviti yang disusun untuk mereka. Antara aktiviti termasuklah cabutan bertuah, tayangan multimedia berkaitan agihan dan kutipan zakat. Para jemputan juga berpeluang menulis ucapan raya, bergambar dan selain menerima cenderahati.

Pengurus Besar Pejabat Kutipan, Sahadan Ishak mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada semua tetamu yang hadir. Majlis yang pertama kali diadakan ini diharap dapat merapatkan lagi ukhuwah di antara LZS dan institusi korporat lain.

Antara wakil jemputan yang hadir termasuklah Lembaga Tabung Haji Negeri Selangor, Al-Rajhi Bank, Bendahari Negeri Selangor, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Affin Bank, Alaf Optima Sdn Bhd, Majlis Perbandaran Selayang, Universiti Kebangsaan Malaysia dan lain-lain.