PUSAT ZAKAT SELANGOR NAIK TARAF KE LEMBAGA ZAKAT SELANGOR



Banting — Y.A.D Dato’ Setia Hj. Mohamad Adzib Mohd Isa mengumumkan semasa sidang akhbar sempena pelancaran Lembagan Zakat Selangor (LZS) MAIS di sini pada 31 Januari, bahawa Pusat Zakat Selangor (PZS) MAIS akan dikenali sebagai Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS mulai hari itu.

Menurutnya, rasional naik taraf ini adalah kerana LZS MAIS kini memikul tangungjawab yang lebih besar dalam menguruskan kutipan dan agihan zakat yang telah mencapai lebih RM100 juta setahun, disamping meningkat imej serta kredibiliti LZS MAIS.

Tambahnya, Visi LZS MAIS ialah menjadi sebuah organisasi terunggul dalam menerajui kecemerlangan pengurusan zakat bertaraf dunia.

Misi LZS MAIS pula ialah mengurus dan memanfaatkan potensi kutipan dan agihan zakat dengan efisien, efektif dan berkualiti kepada umat islam di selangor berdasarkan nilai-nilai terpuji, selaras dengan tuntuan syarak untuk mencapai keseimbangan sosio ekonomi ummah.

Menurutnya lagi, beberapa objektif telah digariskan terhadap penubuhan LZS MAIS iaitu:
-Memperkasa pengurusan institusi zakat
-Memaksima potensi kutipan zakat
-Menangani / membasmi kemiskinan
-Meningkatkan pembangunan sosio ekonomi ummah dan syiar Islam
-Memberi perkhidmatan pelanggan yang berkualiti

Tambahnya, bagi memastikan misi dan objektif di atas tercapai, beberapa program jangka panjang yang melibatkan agihan wang zakat akan dilaksanakan, antaranya:
-Penubuhan kompleks asrama anak-anak fakir miskin MAIS di Klang dan di setiap daerah
-Penubuhan pusat dialisis MAIS di sekitar Lembah Klang
-Penubuhan pusat pemulihan penagih dadah tegar di Hulu Selangor
-Pembangunan rumah berkelompok asnaf fakir miskin desa ehsan dan pusat komuniti di setiap daerah dan
-Penubuhan sebuah koperasi bagi menggerakkan aktiviti ekonomi penerima bantuan modal

Beliau juga dalam kenyataannya menyeru kepada seluruh umat Islam di Selangor agar menunaikan tanggungjawab berzakat sebagai tanda kesyukuran terhadap rezeki yang dikurniakan oleh Allah s.w.t.

“LZS MAIS sebagai sebuah badan yang dipertanggungjawabkan, akan mengurus serta mentadbir pengurusan zakat di Selangor dengan penuh tanggungjawab dan telus.
Peningkatan kutipan zakat pada setiap tahun menunjukkan masyarakat semakin yakin dengan pengurusan agihan yang baik yang dilaksanakan oleh LZS MAIS, disamping tahap kesedaran yang semakin meningkat,” ujarnya.