PUSAT DIALISIS DIBUKA DI KLANG



Klang – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS telah membuka pusat dialisis yang ketiga bagi memudahkan penerima bantuan dialisis mendapatkan rawatan yang terletak di Klang. Pembukaannya dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat, Y.B Dato’ Haji Abdul Rahman Palil baru-baru ini.

Pembinaan pusat dialisis ini dilaksanakan di bawah Program Pembangunan Sosial yang menelan belanja sebanyak RM630 ribu. Ia dilengkapi dengan sembilan unit mesin dialisis di mana sembilan orang pesakit boleh menjalani rawatan serentak. Sehingga kini seramai 32 orang pesakit telah menjalani rawatan tetap di sini yang diawasi oleh dua orang jururawat.

Sebelum ini, LZS (MAIS) telah mempunyai dua pusat dialisis yang terletak di Shah Alam dan Sungai Besar. LZS (MAIS) kini sedang menunggu kelulusan pihak Kementerian Kesihatan untuk membuka empat lagi pusat dialisis iaitu di Taman Melawati, Kuala Selangor, Sepang dan Kajang.

Menurut statistik, jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan dialisis tajaan LZS (MAIS) pada tahun 2006 sebanyak 456 orang dan jumlah tersebut bertambah pada tahun 2007 sebanyak 710 orang. Sepanjang tahun lalu, LZS (MAIS) membiayai kos rawatan dialisis sebanyak RM1.03 juta sebulan dan ia mencecah RM12.3 juta setahun.

Penubuhan pusat dialisis ini dilihat bukan sahaja dapat menjimatkan kos bahkan dapat menyediakan suasana Islamik, kondusif serta lebih mesra kepada prara pesakit sekaligus dapat menjadi model sebuah pengurusan pesakit secara Islam.