PROMOSI ZAKAT DI BANK MUAMALAT



Rawang – Pertemuan dengan Bank Muamalat cawangan Rawang berjaya membuka peluang kepada Lembaga Zakat Selangor (MAIS) untuk mempromosikan zakat di samping bertukar-tukar pandangan serta memupuk hubungan mesra antara LZS (MAIS) dengan bank berkenaan yang diadakan baru-baru ini.

Ia dilihat sebagai usaha dakwah LZS (MAIS) dalam kempen berzakat terutamanya kepada agen kutipan LZS (MAIS). Menurut Pengurus Bank Muamalat cawangan Rawang, Mohd Sani Mohd Yusof, semenjak bank ini diisytiharkan sebagai bank angkat LZS (MAIS) pada 30hb September tahun lepas, sambutan yang diterima menggalakkan terutamanya pada bulan Ramadan dan Disembar.

“Ia kesan daripada promosi yang dijalankan oleh bank dengan kerjasama Skuad Kembara Zakat (SKZ) kepada penduduk sekitar pada tahun lepas. Pada tahun ini kami merancang untuk mengadakan program bersama seperti ini lagi setelah melihat respon yang diterima daripada pelanggan.

“Usaha untuk mempromosikan pembayaran zakat melalui bank juga dilakukan dengan meletakkan bunting LZS (MAIS) serta menyediakan cenderamata istimewa kepada pembayar yang membayar zakat di premis bank berkenaan,” kata beliau.

SKZ kini dikenali dengan Skuad Dakwah Zakat (SDZ) berperanan mengadakan promosi secara bergerak berkenaan zakat ke serata tempat di negeri Selangor.