PROJEK AT-TA’AWUN: ZAKAT SELANGOR PERKASA PENOLONG AMIL KARIAH



SHAH ALAM, 10 Februari 2018 – Lembaga Zakat Selangor mengadakan taklimat perlaksanaan projek perintis At-Ta’awun siri 2.0 melibatkan wakil-wakil kariah di Selangor bertempat di Dewan Orkid, Wisma PKPS di sini.

Ia merupakan kesinambungan bagi projek At-Ta’awun yang dilaksanakan pada tahun 2017 melibatkan seramai 18 orang penolong amil kariah (PAK) di tiga buah kariah di Selangor.  Zakat Selangor memperkenalkan projek At-Ta’awun bertujuan membangunkan sistem pengurusan penolong amil kariah dengan menyusun gerak kerja lebih sistematik dan efisien bagi menyantuni asnaf di Selangor. Ini termasuklah memperkasakan peranan PAK sebagai ‘pemudahcara’ antara Zakat Selangor dengan masyarakat terutama asnaf.

27752433_10155972971256221_6535822848604706577_n

Pada tahun ini, projek At-Ta’awun siri 2.0 telah diperluaskan kepada 140 kariah di sembilan daerah di Selangor. Ia bertujuan memberi pendedahan kepada penolong amil kariah berkenaan peranan PAK  dalam menjalankan tugas yang diberi, di samping meningkatkan profesionalisme PAK di dalam mendepani masyarakat sebagai pelanggan utama organisasi. Ia bagi melahirkan barisan PAK yang profesional dan kompetan dalam membantu Zakat Selangor mendepani agenda pemerkasaan ummah melalui aktiviti agihan dan pembangunan asnaf yang sistematik, komprehensif serta berkesan.

Untuk makluman, sehingga kini Zakat Selangor mempunyai seramai 1,613 penolong amil kariah yang dilantik sebagai pemudahcara antara Zakat Selangor dan masyarakat terutama golongan asnaf fakir dan miskin.

Taklimat disampaikan oleh Ketua Jabatan Pengurusan Amil, Zaidi Rasid. Hadir sama, Timbalan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Mohd Basir Hassan Basri.