PROGRAM TV KASIHKU: ZAKAT SELANGOR TERBIT PROGRAM REALITI ASNAF



SHAH ALAM, 23 Januari 2018 – Lembaga Zakat Selangor dengan kerjasama TV Alhijrah  menerbitkan sebuah rancangan berbentuk program majalah realiti berjudul ‘Kasihku’ yang mengetengahkan kisah keluarga asnaf terpilih di Selangor. 
 
Program yang mengangkat konsep tanggungjawab sosial korporat turut mendapat kerjasama daripada syarikat-syarikat korporat yang menunaikan zakat di Zakat Selangor. Ia memberi peluang  dan ruang kepada syarikat korporat untuk bersama-sama merasai kesusahan di sebalik kehidupan keluarga asnaf.
 
Kasihku merupakan program di sebalik kehidupan sebenar keluarga asnaf fakir dan miskin yang menerima bantuan Zakat Selangor, di mana manfaat zakat yang diterima itu adalah dari wang zakat yang disalurkan oleh syarikat-syarikat korporat tersebut. 
 
Selain itu, Program Kasihku merupakan platform hebahan khusus untuk memberi pemahaman dan informasi kepada masyarakat berkaitan pengagihan zakat yang dilaksanakan di Selangor. 
 
Rancangan lapan episod ini telah bermula 16 Januari 2018 pada setiap hari Selasa jam 6.30 petang dan akan ulang tayang semula pada jam 9.30 malam. Setiap episod akan bersiaran selama 30 minit.
Zakat Selangor memilih lapan keluarga asnaf yang memenuhi kriteria untuk diberi peluang meningkatkan taraf ekonomi mereka melalui pelbagai bantuan yang disalurkan. Antara bantuan yang di salurkan termasuklah bantuan pendidikan, bantuan modal perniagaan, bantuan perubatan dan bantuan sosial.