PROGRAM SEHARI DI PENJARA KAJANG



Tarikh : 7/5/2010
Penulis : Mohamed Syahril Bin Haji Zainol

Kajang, 24 Jun – Bahagian Majikan Lembaga Zakat Selangor dengan kerjasama Bahagian Dakwah, JDK, D’ Asnaf Kraf, KOD, PKOD serta kakitangan Daerah Hulu Langat telah menganjurkan Program Sehari di Penjara Kajang tempohari.

Program berjaya mencapai objektifnya dengan mengadakan misi ziarah ke penjara di sebelah pagi. Petangnya diadakan Taklimat Pekeliling Kerajaan Skim Berkat kepada 300 kakitangan penjara. Manakala di sebelah malam turut diadakan kaunter, pameran zakat, majlis tahlil, solat hajat dan Forum Perdana.

Hadir majlis tersebut Ketua Pengarah Penjara Malaysia dan CEO LZS serta dibarisi 3 penceramah terkenal; Ustaz Rodzi (KUIS), Ustaz Halim (LZS) merangkap moderator dan Ustaz Kamaruddin (Mantan Imam Masjid Negara)

“Dalam sesi lawatan tersebut, didapati sumbangan zakat amat diperlukan. Banyak aspek boleh dibantu terutamanya kepada aspek pembangunan agama, naik taraf institusi kerohanian dan sekolah dalam penjara itu sendiri. Pelbagai kesalahan telah dikenalpasti, golongan Melayu Islam adalah menjuarainya. Kedua, kaum India tetapi pesalah kekal yang sangat sedikit adalah dari kaum Cina. Sesuatu yang boleh diambil ikhtibar bagaimana kaum Cina berjaya mengurangkan kadar jenayah di kalangan mereka”.

Program 5 dalam 1 ini dilihat positif sebagai misi dakwah yang SMART dan pada masa yang sama menampilkan kaedah pemasaran langsung kepada sasaran. Kerjasama dari pihak Penjara Malaysia sangat baik sekali. Semoga LZS dapat mendepani pelbagai isu masyarakat demi membawa ummah gemilang.