PROGRAM RAUDHAH DIHATIKU: LZS SEBAR MAKLUMAT AGIHAN



Subang Jaya, 24 Sep – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengambil peluang menyebarluaskan maklumat zakat terutamanya maklumat agihan zakat melalui Program Raudah Dihatiku anjuran TV9 dengan kerjasama LZS dan pihak masjid.
Program pertama telah diadakan di Masjid Darul Ehsan, Subang Jaya pada 24 September dan mendapat sambutan hangat dari penduduk setempat. Program yang berkonsepkan Karnival Islami  ini dipenuhi dengan pelbagai acara di dalam dan di luar masjid.  Ia juga bertujuan mengimarahkan masjid untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Melalui program ini, LZS membuka gerai yang mempamerkan projek-projek keusahawanan asnaf fakir dan miskin seperti produk tepung segera, kraf tangan, mesin jahit dan pakaian sekolah. Selain itu, sabuah gerai bergerak asnaf yang dijenamakan sebagai My Burger turut dipamerkan.
Melalui usaha ini, masyarakat dapat menyaksikan sendiri kejayaan penerima zakat melalui wang zakat yang mereka tunaikan kepada LZS. Mereka turut berpeluang bersua muka dan berbual sendiri dengan penerima bantuan sambil menyaksikan demonstrasi penghasilan produk kraf dan merasai burger yang disediakan.
Selain itu, pelbagai risalah berkaitan agihan diedarkan dan Kaunter Bergerak turut dibuka bagi memudahkan masyarakat menunaikan zakat.
Aktiviti menarik yang turut diadakan sekitar program ini adalah rakaman secara langsung program Tanyalah Ustaz bersama Ustaz Halim Din mengenai topik Agihan Zakat, rakaman Tanyalah Ustazah bersama Ustazah Asni Abu Mansor dengan topik Bagaimana Muslimah Berperanan serta persembahan kumpulan nasyid Al-Mawlid. Pelbagai gerai lain turut dibuka seperti gerai jualan pakaian, tudung, makanan dan lain-lain.
Program Raudah Dihatiku ini akan diteruskan di dua buah masjid lagi iaitu di Masjid Al-Hidayah, Hulu Klang pada 1 Oktober dan di Masjid Al-Falah USJ, Subang Jaya pada 22 Oktober.  Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan lagi program ini.