PROGRAM PENDATAAN: ASNAF FAKIR DAN MISKIN DISERU KEMAS KINI MAKLUMAT PERIBADI



SHAH ALAM, 22 Februari 2016 – Seramai 27,000 asnaf fakir dan miskin di seluruh Negeri Selangor diseru untuk mengemas kini maklumat sempena Program Pendataan Asnaf Fakir dan Miskin 2016 yang diadakan di masjid terpilih di seluruh Selangor bermula awal Februari sehingga penghujung Mac.

Pendataan semula ini bertujuan untuk mengemas kini maklumat asnaf di Selangor agar penyaluran bantuan zakat dapat dilaksanakan dengan tepat mengikut jumlah tanggungan sebenar sesebuah keluarga.

Para asnaf yang terlibat akan dimaklumkan melalui pos dan diminta hadir ke masjid mengikut tarikh yang telah ditetapkan. Mereka perlu membawa salinan kad pengenalan diri dan tanggungan beserta salinan penyata Bank Islam dan pengesahan belajar sekolah anak-anak.

pendataan

Bagi asnaf yang tidak dapat hadir, boleh menghantar wakil untuk penyerahan maklumat tersebut. Kerjasama asnaf yang terlibat amat diharapkan bagi mengelakkan keciciran dalam pengagihan bantuan zakat. Walau bagaimanapun, bagi asnaf yang tidak menerima surat dari LZS bermakna data mereka telah lengkap.

Sehingga kini, tiga daerah iaitu Sepang, Gombak dan Kuala Selangor telah selesai mengadakan program ini. Manakala daerah bagi daerah Hulu Langat akan diadakan bermula 22 sehingga 26 Februari bertempat di Masjid Sultan Hishamuddin Alam Shah, Batu 14, Masjid Al-Azim Pandan Indah, Ampang, Masjid Cheras Jaya, Balakong dan Masjid Sungai Ramal Luar.

Sementara bagi daerah Kuala Langat akan diadakan bermula 29 Februari-2 Mac di Masjid Al-Islah, Kg. Sawah, Masjid Jamek Jamaiyah, Morib dan Masjid Ar-Rahman, Sg. Manggis.  Sabak Bernam pada 5-8 Mac di Masjid Makmuriah, Pekan Sg. Besar, Masjid Makmuniah Sg. Nipah, Simpang Lima, Masjid Ar Rahmaniah, Sg. Air Tawar dan Balai Raya Jalan Raja Wali, Taman Berjaya.

Bagi daerah Hulu Selangor akan diadakan pada 9-11 Mac di Masjid As-Salam Bukit Sentosa, Masjid Bandar Utama Batang Kali dan Masjid Ar-Rahman Ulu Bernam. Manakala daerah Petaling akan mengadakan program ini pada 14-18 Mac dan Klang pada 21-24 Mac.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut berkaitan hal ini, boleh hubungi talian cawangan LZS di daerah masing-masing.