PROGRAM FIESTA AMAL TARIK MINAT KAKITANGAN MAS



Tarikh : 1/6/2009
Penulis : editor

Sepang – Bersempena dengan Tahun Zakat Selangor 1430H dan Bulan Dakwah Sistem Penerbangan Malaysia (MAS), satu Program Fiesta Amal diadakan bertempat di Pusat Muktamar Islam MAS (PMIM) anjuran bersama Lembaga Zakat Selangor (LZS), PMIM, IluvIslam.com dan IKIM fm yang dirasmikan oleh Pengerusi MAS, Tan Sri Dr. Munir Abdul Majid baru-baru ini.

Program yang berlangsung selama dua hari ini turut diserikan dengan Forum Ad-Deen membicarakan tajuk ‘Meraih Rezeki, Berkat Dicari’, berjaya menarik minat ribuan kakitangan MAS dan anak-anak syarikat. Forum yang dimoderasikan oleh Penerbit Kanan Rancangan Radio IKIM.fm, Ustaz Mahathir Shaharuddin dan dikupas oleh dua panel berkaliber, Eksekutif Dakwah LZS (MAIS), Ustaz Mohd Uda Kasim dan Penerbit Rancangan Radio IKIM.fm, Ustaz Zamri Zainal Abidin.

Turut diadakan ialah pembukaan kaunter yang melibatkan jualan produk-produk niaga, kaunter LZS (MAIS), D’Asnaf Kraf, pameran Karangkraf, Islamic Relief Malaysia, Iluvislam.com dan IKIM.fm.