PROGRAM BUAL BICARA ‘UNTUKMU WANITA’ TARIK 200 PESERTA



Bangi – Seramai 200 orang peserta hadir ke forum bual bicara ‘Untukmu Wanita’ anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Tabung Amanah Zakat UNITEN bertempat di Masjid UNITEN di sini baru-baru ini.

Forum dua jam mengetengahkan tajuk ‘Forum Wanita Kontemporari: Menggapai Kebahagiaan Dalam Sejuta Cabaran’ bersama dua panelis iaitu Mantan Penolong Pengarah Kanan JAKIM, Zawiyah Hassan dan pelakon serta selebriti terkenal, Yatt Hamzah. Ia dikendalikan oleh Eksekutif Dakwah LZS, Syaharina Abdullah yang bertindak sebagai moderator mengupas isu-isu berkaitan wanita zaman kini.

Di samping itu, para peserta turut disajikan dengan sesi fesyen tudung bersama dengan butik Ratu. Sesi ini memperagakan koleksi tudung terbaru di pasaran selain cara pemakaian tudung pada masa kini yang bersesuaian dengan imej wanita Muslimah.