PROGRAM BUAL BICARA MERIAH: ERAT HUBUNGAN LZS DAN MASYARAKAT



KUALA LANGAT 29 April– Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama pihak Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Langat, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berjaya merealisasikan program zakat berkonsepkan kerohanian yang santai di sini baru-baru ini bagi mengeratkan hubungan di antara LZS dan masyarakat.

Program berbentuk forum yang dinamakan Bual Bicara ini menampilkan ahli panel iaitu Ustaz Suhaini Abdul Wakid dari JAIS dengan gandingan Ustazah Zawiyah dari JAKIM dengan tajuk ‘Dunia Diuji, Syurga Dinikmati’. Moderator pula ialah Ustaz Hashim Fikri Al-Jawi dari LZS yang mengendalikan bual bicara dengan baik di hadapan kira-kira 500 orang.

Kehadiran sangat memberangsangkan dari pelbagai lapangan baik seisi keluarga PDRM bersama-sama penduduk sekitar kawasan. Antara tetamu jemputan yang hadir pada malam tersebut antaranya ialah Orang Besar Jajahan Kuala Langat, ADUN SIjangkang, Ketua Polis IPD Kuala Langat dan Pengurus Besar, LZS.

Program pada malam itu turut diserikan dengan kehadiran kaunter bergerak LZS yang ditempatkan di luar Dewan Serbaguna IPD sebagai salah satu kemudahan pembayaran zakat kepada para pengunjung yang hadir.

Sebelum Program Bual Bicara bermula, majlis Solat Hajat berjemaah turut diadakan selepas Solat Maghrib di surau berhampiran. Turut sama jemaah yang hadir ialah para pelajar Maahad Tahfiz, Masjid Bandar, Banting.

Ketua Polis IPD Kuala Langat melahirkan rasa gembira atas komitmen LZS dalam memberi khidmat terbaik kepada masyarakat seiring usaha PDRM juga ke arah merapatkan hubungan dengan komuniti.