PORTAL E-MAJIKAN: SATU LAGI KEMUDAHAN ZAKAT SELANGOR



SHAH ALAM, 1 Jun 2016 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memudahkan majikan khususnya syarikat swasta yang menyertai Skim Potongan Gaji (SPG) dengan melancarkan portal E-Majikan di hadapan 240 orang wakil majikan SPG bersempena Majlis Mesra Majikan 2016 di sini hari ini.

Portal E-Majikan merupakan kemudahan atas talian yang membolehkan majikan di syarikat menyertai SPG membuat taksiran zakat untuk kakitangan, selain melihat rekod bayaran lepas, mencetak slip bayaran zakat dan mengemas kini maklumat syarikat. Majikan terbabit boleh melayari portal ini dengan mendaftar di portal rasmi Zakat Selangor www.zakatselangor.com.my/e-majikan.

Untuk makluman pada tahun 2015, Zakat Selangor telah mengutip zakat sebanyak RM627.2 juta. Daripada jumlah tersebut, RM270.0 juta dikutip melalui SPG iaitu salah satu kaedah pembayaran zakat yang disediakan di Selangor. Sehingga April 2016, sebanyak RM75.0 juta telah dikutip melalui kaedah ini.

Dalam pada itu, sebanyak 132 majikan yang mewakili pelbagai syarikat swasta, badan berkanun dan sektor kerajaan diraikan dalam Majlis Mesra Majikan 2016. Majlis berkenaan bertujuan meraikan para majikan yang telah menyertai SPG bagi zakat pendapatan kakitangan di Selangor. Ia juga sebagai platform komunikasi antara Zakat Selangor dengan pihak majikan khususnya dalam penambahbaikan pengurusan potongan zakat bulanan, di samping menyebarkan maklumat terkini berkaitan pengurusan zakat di Selangor.

Hadir sama dalam majlis ini, Pengurus Besar Kutipan, Mohd Sabirin Sarbani.