PESERTA ZIKRA RASAI PENGALAMAN BERSAMA ASNAF ZAKAT



KUALA LANGAT, 26 September 2018 – Program Ziarah Korporat & Media Bersama Asnaf (ZIKRA) menarik minat 40 orang peserta terdiri daripada pengeluar zakat syarikat korporat termasuk wakil majikan yang membuat potongan gaji dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Program tahunan ini membawa pengeluar zakat merasai pengalaman turun padang di lapangan bagi melihat realiti kehidupan para asnaf di Kuala Langat yang disantuni dengan wang zakat.

Menurut Pengarah Program ZIKRA,  Zakuan Hassan, penyertaan peserta kali ini sangat memberangsangkan sehingga jumlah peserta perlu disaring bagi memberi ruang kepada pengeluar syarikat korporat yang tidak pernah terlibat sama sebelum ini.

UNADJUSTEDNONRAW_thumb_2736

“Kami menerima banyak permohonan daripada peserta untuk menyertai semula program ini. Namun terpaksa dihadkan kepada 40 peserta sahaja bagi memudahkan pengendalian sepanjang program berlangsung.”

Tambahnya lagi, usaha menganjurkan program ini dilihat dapat memberi pendedahan dan berkongsi maklumat berkaitan pengurusan pengagihan zakat seterusnya dapat menyantuni asnaf secara langsung.

Turut memberi sumbangan Kasihku Zakat Selangor ialah syarikat Gerbang Alaf Restoran, Telekung Siti Khadijah, Nottingham University dan juga TriPLC.

Program yang bermula di ibu pejabat LZS ini, telah membawa peserta menelusuri kehidupan para nelayan asnaf.

Sementara itu, seorang asnaf yang ditemui, Saad Ibrahim, 50, berkata, beliau meraih pendapatan keluarga hasil daripada menjadi seorang nelayan di sekitar Jeti Kampung Kelanang.

“Dengan pendapatan lebih kurang RM1,500 sebulan, saya membesarkan lima orang anak. Alhamdulillah, LZS juga ada membantu menyalurkan bantuan modal bagi membeli peralatan dan jaring berjumlah RM5,000.”

Tambahnya lagi beliau amat bersyukur dengan bantuan zakat yang diterima mampu untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga.

“Selain itu, LZS turut menyalurkan bantuan bulanan sebanyak RM300 dan bantuan pendidikan untuk anak-anak. Arwah isteri pun dibantu dengan bantuan perubatan dialisis sebelum ini,“ ujarnya dalam nada sedih.

Bagi nelayan di Jeti Kampung Kelanang, kehadiran para peserta memberi peluang kepada mereka untuk menjual hasil tangkapan ikan di laut. Sehingga kini sebanyak 50 orang nelayan di sini merupakan asnaf fakir dan miskin LZS.

Mereka ini disantuni LZS dengan bantuan perikanan berjumlah antara RM20,000 hingga RM30,000 bagi membeli bot, enjin bot serta peralatan menangkap ikan.

Seterusnya para peserta dibawa ke Masjid Al-Azim, Kampung Kelanang bagi menyaksikan penyerahan bantuan berupa keperluan harian kepada 150 asnaf fakir dan miskin daerah Kuala Langat. Dalam majlis yang sama, LZS turut menyampaikan bantuan zakat kepada beberapa penerima.

UNADJUSTEDNONRAW_thumb_271a

 

Seorang asnaf yang menerima bantuan pada majlis tersebut, Ruskiah Abdul Ghafar,43, turut bersyukur dengan bantuan yang berikan oleh LZS. “Alhamdulillah, rasa gembira dapat berjumlah dengan pengeluar zakat. Terima kasih atas bantuan yang diberikan.”

Pada penghujung program, para peserta telah ke Kampung Kepau Laut, Pulau Carey yang menempatkan penerima bantuan mualaf dari LZS dalam kalangan orang asli. Selain menziarahi dua keluarga mualaf yang menerima bantuan bina rumah, LZS turut menyampaikan sumbangan bantuan zakat bagi baik pulih surau di situ berjumlah RM50,000. Turut menyampaikan sumbangan adalah Syarikat Telekung Siti Khadijah yang menyerahkan bantuan kepada 18 keluarga asnaf di situ.