PESAWAH TANJUNG KARANG DIDEDAH KEWAJIPAN TUNAI ZAKAT



TANJUNG KARANG – Lembaga Zakat Selangor (LZS) meneruskan usaha menyebarkan dakwah zakat dengan mengadakan Program Mesra Petani di Sawah Sempadan, Tanjung Karang baru-baru ini.

Program dengan kerjasama Jabatan Pertanian ini, dihadiri hampir 200 orang pesawah di kawasan berhampiran. Antara pengisian program adalah Bual Bicara bersama Pendakwah Bebas, Ustaz Ghazali Omar dan Pegawai Dakwah LZS, Ustaz Khahar Hj Zaini bertajuk ‘Keberkatan Menunaikan Zakat’.

Antara persoalan yang dibicarakan ialah, bagaimana zakat petani dapat menyuburkan pertanian mereka, mengapa zakat tidak boleh diagihkan sendiri dan bilakah waktu yang sesuai untuk menunaikan zakat padi ini.

Melalui bual bicara ini, rata-rata peserta memahami tentang kewajipan mereka. Program turut dimeriahkan dengan kuiz zakat dan cabutan bertuah kepada mereka yang membuat pembayaran zakat pada hari itu. Kaunter bergerak turut dibuka bagi memudahkan pengunjung menunaikan zakat.