PESAKIT BUAH PINGGANG BUKAN ASNAF MISKIN



Shah Alam, 25 Ogos 2011 – Berikut adalah maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) terhadap berita bertajuk ‘Kembalikan hak saya’ yang tersiar di akhbar Harian Metro pada hari ini 25 Ogos 2011, di muka surat 41 ruangan Setempat.

LZS prihatin dengan masalah yang diajukan oleh dua orang warga emas, Shahrum Ayumi dan Hasimah Awang. Mengikut rekod LZS, kedua-dua pengadu menerima bantuan bagi rawatan dialisis dan suntikan aprex sejak tahun 2007 dan 2008. Walau bagaimanapun mereka bukanlah asnaf fakir atau miskin dan bantuan yang diberikan adalah di bawah asnaf Gharimin iaitu atas dasar sumbangan dan terhad kepada 12 kali rawatan sahaja.  Selain Shahrum dan Hasimah, perkara ini turut dimaklumkan kepada Presiden Persatuan Kebajikan Buah Pinggang Selangor, Omar Othman dalam pertemuan dengan wakil LZS sebelum ini.

Ini bermaksud sekiranya mereka memerlukan rawatan melebihi 12 kali, maka perbezaan kos perlu ditanggung oleh pesakit itu sendiri.  Dalam kes Shahrum dan Hasimah, sekiranya mereka memerlukan bantuan lanjut, LZS sedia untuk mempertimbangkannya  kerana sebelum ini terdapat pesakit yang berhadapan kes yang sama telah menerima bantuan daripada LZS apabila permohonan mereka diluluskan.

Ketika ini terdapat hampir 1,000 orang yang menerima rawatan dialisis dan menerima bantuan daripada LZS, di mana lebih separuh daripadanya bukan asnaf fakir atau miskin.  Mengikut dasar agihan zakat, sekiranya seseorang itu asnaf fakir atau miskin, maka LZS akan menanggung keseluruhan kos rawatan dialisis mereka, namun jika sebaliknya, terdapat had yang telah ditentukan.