PERTANDINGAN VIDEO DAKWAH ZAKAT: DAKWAH KEPADA GENERASI MUDA



SERDANG, 6 NOVEMBER 2012 – Bagi menyebarkan dan merancakkan lagi dakwah zakat khususnya di kalangan generasi muda, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama agen zakat atau Penolong Amil Institut Pengajian Tinggi, menganjurkan Pertandingan Video Dakwah Zakat (VDK) yang dilancarkan di sini hari ini.

Pertandingan VDK  ini pertama kali dianjurkan bertujuan menarik generasi muda menunaikan kewajipan berzakat di samping mengajak mereka berdakwah bersama LZS melalui video yang dihasilkan.

Pertandingan  bermula 1 November hingga 31 Disember dan terbuka kepada semua khususnya pelajar institute pengajian tinggi.  Hadiah  menarik disediakan iaitu wang tunai RM5,000 beserta sijil bagi tempat pertama, RM3,000 beserta sijil bagi tempat kedua dan RM2,000 beserta sijil bagi tempat ketiga. Dua hadiah sagu hati turut disediakan iaitu wang tunai berrnilai RM500 berserta sijil.

Antara syarat pertandingan ialah video yang dihasilkan hendaklah mempunyai unsur-unsur dakwah dan tarbiyyah berkaitan zakat samada berbentuk ceramah, animasi, drama pendek dan sebagainya bergantung kepada kreativiti dalam tempoh maksimum 5 minit.  Syarat  lanjut berkaitan pertandingan boleh dirujuk di laman sesawang LZS di www.zakatselangor.com.my atau facebook dengan carian LembagaZakatSelangor.MAIS.

Antara universiti terlibat ialah Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan Universiti Multimedia (MMU).

Pelancaran disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamad Izam Mohamed Yusof.  Turut hadir Mohamed Ghazali Hj Ali, Pengarah Pusat Islam Universiti Putra Malaysia.

 

Leave a Reply