PERTANDINGAN PENULISAN ESEI: ALTERNATIF KONGSI INFO ZAKAT SAHAM



SHAH ALAM, 25 September 2013 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menganjurkan pertandingan penulisan esei bersempena dengan kempen zakat saham bertujuan meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang zakat saham melalui penulisan pena.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof di hadapan 120 peserta di Bengkel Zakat Perniagaan di Shah Alam Convention Centre (SACC) dekat sini hari ini.

Pertandingan terbuka kepada umum telah bermula pada 15 September dan akan berakhir 15 November. Para peserta boleh menyertai seberapa banyak penyertaan dengan memilih salah satu daripada tiga pilihan tajuk esei iaitu Zakat Saham: Strategi Pemasaran dan Dakwah Berkesan, Kaedah Berkesan: Kesedaran Kewajipan Zakat Saham di Kalangan Pelabur Muslim dan Zakat Saham: Relevansi Dengan Pelaburan Tersenarai Dan Tidak Tersenarai. Penyertaan hanya boleh dihantar melalui emel ke eseisaham@e-zakat.com.my.

Ia menawarkan hadiah menarik berupa telefon bimbit Samsung Galaxy S4 bagi pemenang tempat pertama, manakala bagi tempat kedua sebuah telefon bimbit Samsung Galaxy Mega dan tempat ketiga mendapat komputer tablet mini jenama Apple. Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pertandingan penulisan esei, boleh layari laman web LZS di www.zakatselangor.com.my.

Pertandingan penulisan esei ini merupakan antara aktiviti yang diadakan sepanjang kempen zakat saham di Selangor. Pada tahun 2012, sebanyak RM7.7 juta dikutip melalui kutipan zakat saham dan pada tahun ini LZS mensasarkan kutipan zakat saham meningkat 10 peratus menjadi RM8.5 juta melalui kempen yang diadakan berterusan pada tahun ini.

Sementara itu, LZS mengambil inisiatif menggalakkan usahawan dan golongan korporat menaksir sendiri zakat perniagaan dengan menganjurkan Bengkel Zakat Perniagaan. Bengkel dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif KOPSYA ANGKASA merangkap Ahli Jawatankuasa Kutipan LZS, Dato’ Syed Mohd Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa. Beliau mengupas tajuk ‘Zakat Perniagaan: Pengenalan dan Kaedah Taksiran’.

Hadir sama, Pengurus Besar Kutipan, Roszy Non.