PERKHIDMATAN ZAKAT DAN BANK DILANCAR HARI INI



Petaling Jaya, 30 Mei –Lembaga Zakat Selangor (LZS) melancarkan satu lagi perkhidmatan zakat secara rasminya hari ini di sini iaitu pembayaran zakat melalui agen-agen kutipan yang dilantik khususnya di kalangan institusi perbankkan bagi memastikan kemudahan kepada pelanggan untuk menunaikan zakat.

Majlis Pelancaran zakat & bank ini merupakan satu titik tolak bagi memangkin potensi kutipan zakat yang ada dengan gandingan mantap di antara institusi zakat dengan institusi perbankan di negara ini.

Pelancaran telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji Jabatan Perdana Menteri, Mohd Zakri Husain, yang mewakili Menteri di Jabatan perdana Menteri, Y.B Datuk Dr. Abdullah Md Zin.

Penjenamaan perkhidmatan ini merupakan satu agenda untuk meningkatkan kesedaran kepada orang ramai bahawa pembayaran zakat kini semakin mudah dengan adanya kerjasama yang terjalin di antara LZS (MAIS) dengan hampir kesemua bank-bank utama di Malaysia.

Perkhidmatan yang diberi nama ‘Zakat & Bank’ bertema ‘Mudah & Masa Terjamin’ menjadikan jam pasir sebagai simbolik masa yang dapat dijimatkan kerana kini pembayaran zakat boleh dibuat dengan begitu mudah, bila-bila dan di mana juga.

Antara kemudahan agen bank ialah pembayaran zakat boleh dilakukan di kaunter-kaunter bank, melalui perbankan internet, telefon, mesin ATM, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan kad kredit.

LZS (MAIS) juga menawarkan satu lagi kemudahan pembayaran zakat secara on-line iaitu pembayaran melalui Financial Prosess Exchange (FPX) yang disediakan melalui portal LZS (MAIS) iaitu www.zakatselangor.com.my. Pembayaran zakat kini boleh dibuat dengan cara yang sangat mudah, selamat dan masa terjamin.

OBJEKTIF

Perkhidmatan ‘Zakat & Bank’ ini diperkenalkan bagi mecapai natijah berikut:-

-Memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk membayar zakat
-Memberi ruang institusi perbankan untuk turut sama terlibat di dalam memangkin
pengurusan zakat
-Meletakkan ibadah zakat ini sebagai sesuatu yang mudah, tidak membebankan dan
penunaiannya boleh dilaksanakan bersama-sama aktiviti seharian yang lain
-Mempelbagaikan kemudahan pembayaran zakat