PERINCI DAN PANTAU MEREKA YANG LAYAK TERIMA ZAKAT – DATO’ RAHMAN



Port Dickson – Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Belia dan Mesra Negeri Selangor, Y.B Dato’ Haji Abd. Rahman Haji Palil menegaskan supaya memperinci dan memantau mereka yang layak menerima bantuan zakat.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Pemilihan Fakir Miskin Peringkat Negeri Selangor 2006 yang diadakan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS pada 8 dan 9 Ogos di sini.

Menurut Dato’ Rahman, perincian dan pemantauan tersebut penting bagi mewujudkan satu kaedah mendidik kepada mereka yang mendapat bantuan zakat daripada LZS (MAIS) supaya mementingkan dan memelihara keluarga serta mengutamakan pendidikan kepada anak-anak.

“Ada penerima bantuan yang hanya duduk di kedai kopi saja dan berbual kosong seperti kutuk sana dan kutuk sini setelah mereka mendapat bantuan,” jelas beliau.

Di samping itu, beliau juga turut menegaskan supaya panel pemilihan fakir miskin tahun ini akan membuat pemilihan yang tepat, amanah dan tidak ada yang tercicir.

“Tuan-tuan sekarang memikul tanggungjawab untuk membuat pemilihan, maka lakukanlah dengan amanah, jika tuan-tuan silap membuat pilihan maka tuan-tuanlah yang akan bertanggungjawab di akhirat kelak,” tegas Dato’ Rahman.

Bengkel itu telah dihadiri seramai 138 orang peserta terdiri daripada Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah, Penolong Pegawai Daerah, Penghulu mukim, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah, Pegawai Penyelaras Masjid seluruh Selangor, wakil UPEN dan wakil Audit MAIS.

Turut hadir semasa majlis perasmian, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, merangkap Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor, S.S Tuan Haji Khusrin Haji Munawi.