PENGUSAHA KEREPEK MENANGI ANUGERAH USAHAWAN TERBAIK KUAZ



Shah Alam–Pengusaha IKS-Bahulu dan kerepek, Mohd Tohid Sidek,41 memenangi anugerah Usahawan Terbaik Kumpulan Usahawan Asnaf Zakat (KUAZ) 2005 (keseluruhan) dalam Konvensyen Asnaf Zakat anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS yang diadakan di sini pada 25 Februari lalu.

Beliau memenangi hadiah bernilai RM9,000 berbentuk pakej umrah untuk seorang tajaan Syarikat Permaidani Indah, satu set komputer dan coaching programme tajaan syarikat Paisley Training & Consulting serta satu set cash register dan penginapan tiga hari dua malam di Delta Inn Apartment Hotel tajaan Delta Inn selain hamper dan plug.

Selain itu beliau turut memenangi anugerah Usahawan KUAZ 2005 (kategori pembuatan). Beliau yang tidak menyangka akan menjuarai agnugerah ini merasa bersyukur dan akan terus berazam untuk terus berusaha maju dalam perniagaannya.

Beliau yang telah bergiat dalam bidang ini selama 12 tahun mengakui bantuan daripada LZS (MAIS) adalah salah satu punca kejayaannya. Daripada pendapatannya hanyalah sebanyak RM5 semasa mula bergiat dalam bidang ini kini beliau mampu memperoleh pendapatan bersih melebihi RM3,000 sebulan.

Tohid yang telah bebas daripada golongan asnaf telah mula membayar zakat dua tahun yang lalu. Nasihat beliau kepada asnaf zakat yang lain agar tidak berputus asa untuk memajukan kehidupan. Baginya kegagalan itu adalah perkara biasa tetapi ketabahan dan kesungguhan amat perlu jika ingin berjaya.

Selain beliau, kategori anugerah Usahawan Harapan KUAZ 2005 (keseluruhan) pula telah dimenangi oleh Afidah bt Sahit, 32. Beliau mengusahakan makanan pagi, kuih muih dan kek. Afidah memenangi hadiah bernilai RM7,000 berbentuk pakej bantuan modal bernilai RM4,000 tajaan LZS (MAIS), Satu set komputer dan ‘coaching programme’ tajaan syarikat Paisley Training & Consulting, satu set ‘cash register’, penginapan tiga hari dua malam di Delta Inn Apartment Hotel tajaan Delta Inn, hamper serta plug.

Manakala bagi anugerah Usahawan Contoh KUAZ 2005 pula dimenangi oleh Mohd Izhar Abdul@Saidon, 44 yang menerima hamper dan plug. Beliau yang kudung ke dua kakinya mengusahakan minuman kacang soya.

Selain itu, konvensyen kali ini turut mempertandingkan anugerah Usahawan KUAZ 2005 (kategori pembuatan), Usahawan KUAZ 2005 (kategori perkhidmatan/peruncitan), Usahawan Harapan KUAZ 2005 (kategori pembuatan) dan Usahawan Harapan KUAZ 2005 (kategori perkhidmatan/peruncitan).