PENGHUNI ASRAMA BAITUL HASANAH LAWAT AQUARIA, KLCC



Kuala Lumpur – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS Wilayah Timur dengan kerjasama Aquawalk Sdn.Bhd. telah menganjurkan program Kembara Ilmu pada 24 Jun yang lalu bersempena dengan minggu orientasi asrama Anak Yatim Baitul Hasanah, Kuala Kubu Bharu.

Seramai 26 orang penghuni asrama ini dan disertai 18 orang anak-anak asnaf fakir dan miskin dari daerah Hulu Selangor Selatan telah dibawa melawat Aquaria, KLCC.

Menurut Ketua Operasi Wilayah Timur, Muhammad Rizal Shah Harudin, sesi lawatan sambil belajar tersebut juga bertujuan meraikan para penghuni asrama yang berjauhan daripada keluarga masing-masing.

“Semoga dengan lawatan ini dapat meningkatkan lagi motivasi mereka untuk terus belajar dengan bersungguh-sungguh. Lagipun, itu adalah harapan keluarga mereka apbila menempatkan anak mereka di asrama Baitul Hasanah, LZS (MAIS),” ujar beliau.

Melalui program tersebut para peserta telah didedahkan tentang kehidupan laut serta kepentingan memelihara alam sekitar. Peserta juga telah dibawa melawat ke sekitar KLCC yang turut disertai pengurusan asrama Baitul Hasanah.

Program diakhiri dengan penyampaian cenderahati berupa barangan daripada Aquaria dan sesi bergambar beramai-ramai. Ternyata, mereka amat gembira dan menghargai pengalaman yang ditimba sepanjang perjalanan program tersebut.