PEMBAYARAN ZAKAT MELALUI PERBANKAN INTERNET HSBC DILANCAR



Kuala Lumpur – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS mengorak selangkah lagi dalam meningkatkan perkhidmatan kutipan zakat dengan membolehkan pembayaran zakat melalui perbankan internet HSBC Bank Malaysia Berhad (HSBC) dan telah dilancar dengan rasminya pada 1 Mac lalu di sini.

Melalui perkhidmatan tersebut, para pemegang akaun perbankan internet Muslim HSBC boleh membayar zakat harta mereka menggunakan perkhidmatan tersebut dengan melayari www.hsbc.com.my.

Sementara itu, Pengerusi MAIS, Y.A.D Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa, berkata di dalam ucapannya, perkhidmatan tersebut diharap dapat membantu memudahkan orang ramai membayar zakat di Selangor.

“Untuk rekod, pada tahun 2006 kita telah memungut sebanyak RM3.56 juta daripada perbankan internet dan tahun ini kita menjangkakan sebanyak RM4 juta akan dikutip,” jelas beliau juga.

HSBC merupakan ejen kutipan zakat melalui bank yang ke 12 dilantik LZS (MAIS) bagi memudahkan kutipan zakat dilaksanakan.

Turut sama dalam majlis pelancaran tersebut ialah Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ).

Pada majlis pelancaran tersebut, LZS (MAIS) telah diwakili oleh Pengerusi MAIS, Y.A.D Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa dan HSBC oleh Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Zarir J Cama.

Manakala Dato’ Haji Abdul Rahim Abu Bakar mewakili PPZ MAIWP.